Isnin, 12 Januari 2009

HMT 329 ANALISIS KONTRASTIF BAHASA-BAHASA DI MALAYSIA

Kuliah 09 Januari, 2009

Analisis Kontrastif merupakan perbandingan antara unsur X dan unsur Y. Oleh itu, pengkajiannya adalah berdasarkan persamaan dan perbezaan sesuatu unsur X dan Y yang bersifat infinit dan arbitrari.

Dr. Radiah memulakan kuliah dengan bertanyakan kefahaman pelajar tentang maksud Palestin dan maksud Israel kepada pelajar HMT 329. Antara jawapannya ialah,
Maksud Palestin

1. (13) Negara yang sedang dijajah.
2. (15) Negara Islam.
3. (17)Negara yang selalu kena bom.
4. (19)Negara yang tidak stabil.
5. (25)Rakyat yang ditindas.
6. (27) Rakyat Palestin yang sedang hidup dalam derita.
7. (29)Banyak rakyat terkorban.

Maksud Israel
1. (4)Sebuah negara Kristian.
2. (6)Kejam, menindas, membunuh.
3. (26)Sebuah negara yang tidak boleh bercampur tangan dalam politik.
4. (10)Sebuah negara yang mempunyai pemimpin yang kejam.
5. (8)Peperangan yang menyebabkan rakyat terkorban.
6. (14)Negara yang mempunyai pemimpin yang bijak berkomunikasi.
7. (20)Negara yang bermusuh dengan negara Palestin.

Analisis Kontrastif Berdasarkan Data
1. (28,15) Israel lebih kuat dari Palestin.
2. (24) Israel merupakan negara yang menindas dan Palestin merupakan negara yang ditindas.
3. (9) Mempunyai agama yang berlainan.
4. (12) Wujudnya konflik politik antara kedua-dua negara.
5. (8) Sebagai akibat negara yang menerima penindasan dan penderitaan.

Walau bagaimanapun, setiap data-data ini perlulah dibuktikan kesahihannya. Berdasarkan tajuk ini, pelajar HMT329 telah menggunakan data daripada wikipedia dan keratan akhbar untuk membuktikan data yang diberikan oleh rakan-rakan kuliah adalah benar ataupun tidak. Perbandingan ini merupakan contoh analisis kontrastif semantik, iaitu mengambil kira unsur-unsur makna. Antara pembuktian analisiskontrastif ini ialah:

1- Pelajar 17,5 dan 22 membuktikan data pelajar 25 dan 4 iaitu ‘Rakyat yang ditindas dan kejam, menindas dan membunuh’ berdasarkan maklumat daripada Wikipedia: Israeli-Palestinian Conflict.

2- Pelajar 11 dan 6 membuktikan data pelajar 9 iaitu, ‘Mempunyai agama yang berlainan’ berdasarkan maklumat daripada Wikipedia: agama-religion.

3- Pelajar 24,28,20,3 dan 2 membuktikan data pelajar 25,4 dan 24 iaitu ‘Rakyat yang ditindas dan kejam, menindas dan membunuh,Israel negara yang menindas dan Palestin negara yang ditindas’ berdasarkan maklumat daripada Berita Harian Online.

4- Pelajar 17,5 dan 22 membuktikan data pelajar 27 iaitu ‘Rakyat Palestin hidup menderita’ berdasarkan maklumat daripada Utusan Online, berita: Hizbullah Bantu Hamas.

Tajuk berita yng menjadi perhatian kami untuk dibincangkan ialah ‘Hizbullah Bantu Hamas’ yang antara beritanya menggambarkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin iaitu ‘lemas dalam banjir najis’. Berita tentang tajuk ini terdapat di kebanyakan akhbar-akhbar di Malaysia, iaitu termasuklah Utusan Malaysia dan Berita Harian. Oleh itu, data yang didapati ini boleh dibuktikan sahih kerana maklumat yang sama juga terdapat pada akhbar yang berlainan.

Akhbar berbahasa Melayu di Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu akhbar bahasa Melayu Perdana atau Pro Persekutuan dan akhbar bahasa Melayu bukan perdana atau bukan Pro Persekutuan. Akhbar bahasa Melayu Perdana ini ialah akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Sementara akhbar bahasa Melayu bukan perdana pula ialah seperti Kosmo, Metro dan Sinar Harian yang dikenali sebagai akhbar tabloid. Manakala akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia iaitu The Stars dan New Straits Times pula merupakan akhbar Pro Persekutuan. Sungguhpun begitu, terdapat perbezaan makna dalam akhbar Bernama yang disiarkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, walaupun berdasarkan satu pernyataan yang sama.

Dr. Radiah juga telah memimpin kami untuk membuat analisis kontrastif aspek wacana terhadap berita-berita utama dunia. Oleh itu, Dr.Radiah menunjukkan perbezaan tajuk-tajuk utama setiap akhbar di Malaysia dan seluruh dunia. Kebanyakan akhbar berbahasa Melayu di negara lain juga membincangkan tentang perkara yang sama iaitu, berita tentang kesengsaraan rakyat Palestin. Antara akhbar ini ialah Berita Harian Singapura di Singapura, dan Kompas di Indonesia. Akhbar Media Permata di Brunei tidak dirujuk. Selain itu, Dr. Radiah juga menunjukkan berita-berita utama di beberapa akhbar negara Asia Pasifik, dan Amerika. Akhbar-akhbar pro-Amerika menceritakan tentang perlantikan presiden sebagai berita utama.

Di samping itu, Dr. Radiah juga ada menunjukkan buku ‘The Last Lecture’ kepada kami. Buku ini ditulis oleh Prof. Dr. Brandy Pauscd. Beliau merupakan penderita kanser pankreas. Selain itu, kami juga dikenalkan juga dengan pelakon filem ‘Ghost’ iaitu Patrick Swayze juga penderita kanser pankreas. Kanser ini merupakan kanser yang paling ditakuti berbanding kanser lain yang sudah sedia maklum sebagai penyakit yang paling bahaya. Walau bagaimanpun, kini penderita kanser lebih dikenali sebagai ‘cancer survival’ kerana kebanyakan daripada mereka menjalani kehidupan yang gembira sementara menanti saat yang sangat ditakuti oleh semua manusia.

Berdasarkan perbezaan dan persamaan kedua-dua mereka, analisis kontrastif dapat dilakukan. Persamaannya, kedua-dua mereka ialah lelaki yang menghadapi masalah yang sama iaitu penderita kanser pancreas, dan mereka menjalani kehidupan dengan sangat gembira. Sementara perbezaan antara mereka ialah profesion yang berlainan, iaitu Prof. Brandy Pauscd merupakan seorang ahli akademik yang berkerja sebagai pensyarah dan Patrict Trazy merupakan seorang pelakon.

Kami juga membincangkan analisis kontrastif dari aspek pragmatik iaitu bahasa badan. Dr. Radiah memulakan perbincangan dengan menceritakan kisah perdebatan antara wakil Palestin dan Israel di Amerika yang berlangsung pada bulan Ramadan. Palestin diwakili oleh Hanan Ashrawi seorang pejuang Palestin yang merupakan wanita arab yang beragama Kristian. Sementara Tedd Couple yang beragama Yahudi menjadi pengantara kepada perdebatan itu. Dalam peristiwa ini, Hanan berdebat tanpa memandang wakil daripada Israel mahupun Tedd Couple sebagai pengantara, tetapi hanya memandang penonton sahaja. Walau bagaimanapun, apabila Tedd Couple menemuramah beliau secara persendirian, beliau memandang wajah Tedd Couple.

Berdasarkan peristiwa ini, analisis kontrastif bahasa badan yang boleh dibuat ialah Hanan Ashrawi menunjukkan perasaannya sangat membenci kaum Yahudi ataupun Israel. Walau bagaimanapun, Tedd Couple bukanlah orang yang dibencinya. Dalam konteks yang berbeza, lakuan Hanan Ashrawi terhadap Tedd Couple adalah berbeza. Selain itu, peristiwa ini menunjukkan bahawa Palestin bukan sahaja terdiri daripada orang Arab yang beragama Islam, tetapi juga orang Arab beragama Kristian.

Perbincangan terakhir adalah berdasarkan tajuk buku ‘Missing Kids’ . Kisah kanak-kanak hilang berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Hari ini, genap setahun kehilangan Sharlinie. Di negara barat, mereka menggunakan tali untuk mengawal anak-anak kecil, tetapi di Malaysia penggunaannya merupakan perkara yang ganjil yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan masyarakat Malaysia. Kes kehilangan kanak-kanak ini mempunyai cara penyelesaian yang berbeza di setiap negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan