Isnin, 19 Januari 2009

TAJUK: Perbandingan Hubungan Perkataan dengan Fungsi Aspek Kata Sendi ‘di’ dan 'at' untuk Berita Enam Pelayar Negara Dahului Regata Langkawi dan Tough Wind Conditions Await Geopark Regatta Sailors [ Analisis Kontrastif Semantik]

1.0 Pendahuluan
Penulisan ini membandingkan persamaan dan perbezaan hubungan perkataan dengan makna untuk Berita ‘Enam Pelayar Negara Dahului Regata Langkawi’ dan ‘Tough Wind Conditions Await Geopark Regatta Sailors’ dari aspek sinonim interbahasa dan intrabahasa. Laman web BERNAMA dipilih, kerana beritanya ditawarkan dalam pelbagai bahasa. Oleh itu, penggunaan kata dari bahasa yang berlainan dapat dibandingkan.
Kata sendi ‘di’ dipilih sebagai perbandingan sinonim interbahasa dan intrabahasa. Sinonim interbahasa bagi perkataan ‘di’ boleh dilihat antara bahasa kedua dan bahasa pertama, iaitu antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Sementara sinonim intrabahasa pula merupakan perbandingan makna dalam bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu sendiri.
Menurut F.R. Palmer, terjemahan Abdullah Hassan (97:1989), sinonom digunakan untuk maksud ‘kesamaan makna’. Bagi penyusun kamus, kebanyakan set perkataan mempunyai makna yang sama; perkataan-perkataan itu seerti atau bersinonim antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun, tidak ada dua perkataan yang mempunyai makna yang betul-betul sama.( F.R. Palmer, terjemahan Abdullah Hassan (98:1989). Hal ini kerana, hubungan kesamaan makna ini tidak bererti bahawa sesuatu leksikal yang bersinonim itu mempunyai keupayaan menggantikan setiap padanan makna pada semua situasi penggunaannya (Indirawati Zahid, Dewan Bahasa: Ogos 2003). Oleh itu, sinonim ialah hubungan yang memperlihatkan persamaan identikal dan persamaan hampiran (Wikipedia, 16 Januari 2009)

2.0 Tujuan
Berdasarkan tugasan ini, kajian difokuskan terhadap perbandingan dan hubungan yang berkaitan dengan aspek sinonim kata sendi ’di’ dalam kedua-dua artikel. Justeru itu, tujuan analisis kajian dibuat adalah untuk menunjukkan persamaan dan perbezaan fungsi kata sendi nama ‘di’ yang terdapat dalam wacana yang berbeza.

Selain itu, tugasan ini juga bertujuan mengenalpasti kata sendi lain yang membawa fungsi yang hampir sama dengan kata sendi ‘di’. Di samping menganalisis maksud yang didukung oleh kata sendi nama “di” itu sendiri.

Oleh itu, kedua-dua artikel ini dirujuk untuk membandingkan penggunaan kata sendi ‘di’ dari aspek sinonim. Aspek ini boleh dilihat dari segi interbahasa dan intrabahasa. Sinonim intrabahasa ini merujuk kepada perbandingan penggunaan ‘di’ dalam bahasa Melayu sendiri, iaitu pengggunaan ‘di’ dalam artikel dan penggunaan ‘di’ dalam bahasa Malaysia. Manakala sinonim interbahasa membolehkan kita melihat sejauh mana kata ‘di’ adalah bersinonim dengan ‘at’ dalam bahasa Inggeris.

3.0 Kaedah
Langkah-langkah menyiapkan tugasan ini dilakukan dengan menggunakan kaedah perpustakaan(buku-buku) dan kaedah internet, iaitu bahan-bahan rujukan yang digunakan didapati daripada kedua-dua sumber ini. Artikel bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperoleh daripada berita BERNAMA online.
Kemudian, perisian tekSTAT digunakan untuk menganalisis data tersebut. Perisian ini juga melibatkan penggunaan Microsoft Office Word, dan Excel. Microsoft Office Excel dapat memindahkan data dari perisian texSTAT dengan menyusun kekerapan dan bilangan perkataan
Sementara makna perkataan diperoleh daripada Kamus Dewan Edisi Keempat, Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English dan Kamus Dwibahasa Oxford Fajar.

4.0 Dapatan dan Analisisi
Berdasarkan teks, kata sendi nama ‘di’ dalam artikel bahasa Melayu mempunyai keseringan lebih tinggi berbanding ‘at’ dalam bahasa Inggeris iaitu 1.96% nisbah 1.65%.
Jumlah daftar kata ‘di’ = 4 Jumlah daftar kata ‘at’ = 2 Keseluruhan daftar kata artikel bahasa Melayu = 204 Keseluruhan daftar kata artikel bahasa Inggeris = 121
4/204 x100 = 1.96% 2/121x 100 = 1.65%

Ayat bahasa Melayu:

Angin kencang sehingga 25 knot mengganggu para peserta di hari pertama kejohanan perahu layar Regata Perdana Antarabangsa Geopark Langkawi KFC 2009 di pusat perahu layar kebangsaan pantai Kelibang, Kuah di sini, Khamis.

Dua pelayar Thailand, pemenang pingat gangsa sukan Asia 2006 di Qatar, Noppakao Poonpat dan rakannya Natthawut Paenyaen masing-masing menjadi pendahulu Optimist dan Laser wanita.

Ayat bahasa Inggeris:

Teams competing in this year's KFC-Langkawi Geopark International Regatta which kicks off tomorrow will be in for a tough time as wind speeds are reaching up to 24 knots at the competition venue in Kelibang, Kuah, here.

"It will test the capabalities of the 200-odd saliors from the 16 teams that will be taking part in this prestigious regatta," he told reporters at the National Yachting Centre here today.
Kata sendi nama ‘di’ merupakan perkataan yang membawa fungsi atau tugas tertentu, ia tidak merujuk kepada makna leksikal. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (ms 347), ‘di’ merujuk kepada kata sendi nama yang menunjukkan ‘tempat’, ‘pada’, ‘dalam’ atau ‘dari’. Walau bagaimanapun, hanya konteks tertentu sahaja yang boleh menggunakan ‘di’ selain daripada fungsi tempat.
Berdasarkan artikel, kata sendi nama ‘di’ merujuk kepada fungsi tempat dan pada. Fungsi ‘pada’ atau masa ditunjukkan pada frasa sendi nama ‘di hari pertama’. Manakala fungsi tempat dapat dilihat pada frasa sendi nama ‘di pusat’, ‘di sini’ dan di Qatar.
Sungguhpun begitu, kata sendi ‘di’ biasanya digunakan untuk merujuk kepada tempat, dan masa perlu menggunakan kata sendi nama ’pada’. Contohnya, frasa ‘di hari pertama ‘ perlu ditukarkan kepada frasa ‘pada hari pertama’.
Sementara dalam bahasa Inggeris, ‘at’ merupakan terjemahan untuk perkataan ‘di’. Walau bagaimanapun, ‘at’ boleh merujuk kepada fungsi ‘di’, ‘pada’ atau ‘dekat’( joyce. M.Hawkins, Kamus Dwibahasa Oxford Fajar edisi kedua, 25:1999)
Berdasarkan artikel bahasa Inggeris, kedua-dua perkataan ‘at’ merujuk kepada fungsi ‘di’ yang menunjukkan tempat. Dalam ayat bahasa Inggeris, ‘at’ sesuai untuk merujuk kepada fungsi tempat, masa atau dekat.
Hal ini menunjukkan bahawa kata ‘di’ dan ‘at’ adalah bersinonim dalam konteks tertentu iaitu tempat. Manakala bagi konteks lain seperti masa, ‘at’ boleh merujuk kepada fungsi ‘pada’ jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

5.0 Penutup
Oleh itu, definisi sinonim yang mengatakan bahawa leksikal itu mempunyai makna yang sama adalah boleh diterima, kerana kata sendi nama ‘di’ dan ‘at’ mempunyai keupayaan untuk menggantikan padanan fungsi penggunaan tempat. Walau bagaimanapun, hakikat bahawa tiada perkataan yang mempunyai makna yang betul-betul serupa perlulah diterima. Hal ini kerana, tidak semua leksikal yang bersinonim itu dapat menggantikan setiap padanan makna pada semua situasi penggunaannya.

Rujukan
A S Hornby. 2005 Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English. New York: Oxford University Press.

Joyce M. Hawkins.1999. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. Shah Alam: Fajar Bakti
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

R. F.Palmer. 1989. Semantik (Terjemahan: Abdullah Hassan) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wikipedia.14 Januari 2009. Synonym. Wikipedia Foundation. synonym> [16 Januari 2009]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan